Apr 17, 2011

Faktor-faktor Amalan Jatuh ke Dalam هبآءً مَّنْثُورًا

1. Faktor Keikhlasan


Al Banna menjelaskan 3 perkara boleh merosakkan keikhlasan dan menjadikan amalan sia-sia:
-Beramal dengan tujuan untuk meraih kekayaan
-Beramal dengan tujuan untuk mendapat populariti, kedudukan atau gelaran
-Beramal dengan tujuan untuk mencapai kemajuan dan mengelakkan daripada kemunduran


2. Tergelincung Dari Matlamat

Ustaz Mustaffa Masyhur menjelaskan penyelewengan dari matlamat adalah di antara yang paling merbahaya sekali. Ia mesti dikawal seketat-ketatnya. Matlamat yang kita tujui dalam perjalanan kita ialah Allah swt. Dimaksudkan dengan penyelewengan dari matlamat ialah menuju kepada selain dari Allah atau sekurang-kurangnya menyengutukan Allah dengan tujuan-tujuan atau kehendak-kehendak keduniaan, atau keinginan rakus individu. Sebarang 'amal tidak diterima kecuali yang ikhlas kepada Allah. Bersih dari sebarang cemaran adalah perkara pokok kepada perjalanan dakwah.

3. Nafsu Menguasai

Dr Majdi Al-Hilali, melalui buku Menjadi Muslim Sejati seterusnya berkata, "Manusia tidak mempunyai kekuatan melawan nafsunya. Nafsu menjadi sangat disayangi dan apa yang diajaknya juga menjadi sesuatu yang dicintai. Lalu bagaimana kita harus melawannya sedangkan kita berada di antara tawanannya, bagaimana kita dapat mengalahkannya sedangkan kita lebih lemah apabila berada di hadapannya? Allah tidak meminta dari kita selain pengakuan bahawa kita tidak mempunyai kekuatan terhadap nafsu kita, dan jika dibiarkan menghadapinya, maka kita akan menjadi tawanan dan hamba nafsu diri kita sendiri. Lalu apa jalan keluarnya? Apakah pintu telah tertutup dan perang telah berakhir? Atau ada apa sebenarnya?


4. Syirik Khafi

Sabda Rasulullah saw:

الشِرْكُ فِيْكُم أخْفَى مِنْ دَبِيْبِ النَّمْلِ

Syirik pada kamu lebih tersembunyi dibandingkan dengan semut yang merayap. (Riwayat Imam Ahmad)

Sabda Rasulullah saw lagi:

إنَّ أخْوَفَ مَا أخَافُ عَلَيْكُمْ الشِرْكُ الأصْغَرُ

Sesungguhnya syirik yang paling aku takutkan kepada kamu ialah syirik kecil. (Riwayat Imam Ahmad)

Juga sabda Rasulullah saw:

إنَّ الْيَسِيْرَ مِنَ الرِّيَاءِ شِرْكٌ

Sedikit riya' itu adalah syirik. (Riwayat Ibnu Majah)

5. Kemasyhuran

Diriwayatkan pada suatu hari Saidina Umar r.a. masuk masjid, kemudian dia melihat Muadz bin Jabal sedang menangis di pusara Rasulullah saw. Umar berkata: "Apa yang menyebabkan kamu menangis?" Mu'adz berkata "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya riya' yang sedikit termasuk syirik dan sesungguhnya Allah mencintai orang bertaqwa dan tersembunyi (tidak disedari) apabila mereka tidak hadir dan apabila mereka hadir orang tidak tahu, hati mereka seperti obor hidayah yang terhindar dari segala kegelapan."

6. Pujian

Pujian adalah fatamorgana yang dihajatkan oleh nafsu. Nabi saw memberi peringatan kepada seorang sahabat ketika ia mendengar pujian yang diberikan kepada sahabat yang lain dengan mengatakan:

وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقُ صَاحِبَكَ

Celakalah engkau, engkau telah memotong leher sahabatmu. (Muttafaq 'alahi)

At-Tsauri berkata:
فَاِنْ لَمْ تَكُنْ مُعْجِبًا بِنَفْسِكَ فَإِيَّاكَ اَنْ تُحِبَّ مَحْمَدَةَ النَّاسِ وَمَحْمَدَتُهُمْ اَنْ تُحِبَّ اَنْ يُكَرِّمُوْكَ بِعَمَلِكَ، وَيَرَوْا لَكَ بِهِ شَرَفًا وَمَنْزِلَةً فِى صُدُوْرِهِمْ

Apabila kamu sudah tidak 'ujub pada diri, kamu juga mesti menjauhi sifat 'suka dipuji'. Bukti bahawa kamu suka pujian orang adalah bahawa kamu ingin agar mereka menghormati kamu kerana sesuatu amal yang kamu lakukan dan agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukan kamu di hadapan mereka.

Fudhail bin 'Iyadh mengemukakan parameter supaya kita dapat mengukur dan mengetahui hakikat diri sendiri.
اْنَّ مِنْ عَلاَمَةِ الْمُنَافِقِ اَنْ يُحِبَّ الْمَدْحَ بِمَا لَيْسَ فِيْهِ، وَيَكْرَهَ الذَّمِّ بِمَا فِيْهِ، وَيَبْغَضَ مَنْ يَبْصُرُهُ بِعُيُوْبِهِ

Sesungguhnya di antara tanda-tanda orang munafik, adalah bahawa ingin mendapat pujian dengan perkara yang tidak ada padanya, sedangkan ia membenci terhadap celaan yang ada pada dirinya, dia marah kepada orang yang memandang berbagai kekurangan yang ada pada dirinya.

7. Kedudukan dan Kepimpinan

Dalam sebuah hadis dinyatakan:
إنَّكُمْ سَتَحْرِصُوْنَ عَلَى الْلإمَارَةِ وَسَتَكُوْنُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Kamu akan sangat bercita-cita untuk kepimpinan dan kamu menyesal pada hari Kiamat." (HR Bukhari)

Di antara indikator hubbu riyasah telah menyelinap masuk dalam jiwa seseorang ialah ketika ia menerima tanggungjawab kepimpinan, kita akan melihat wajahnya sangat gembira dan ceria. Sebaliknya jika ditarik jawatan itu daripadanya kelihatan ia sangat sedih, dukacita dan mengelabah.

8. Riya’ dan Ujub

Al-Fudhail bin 'Iyadh lebih fokus kepada sifat 'ujub 'merasa amalnya lebih dan melupakan dosanya' dengan mengatakan:
إذْظَفَرَ اِبْلِيْسُ مِنْ اِبْنِ آدَمَ بِاِحْدَىْ ثَلاَثٍ خِصَالٍ قَالَ: لاَأطْلُبُ غَيْرَهَا: إعْجَابُهُ بِنَفءسِهِ، وَاسْتِكْثَارُهُ عَمَلَهُ، وَتِسْيَانُهُ ذُنُوْبَهُ

Apabila iblis telah berjaya melakukan tiga perkara pada diri anak Adam, ia akan berkata: 'Aku tidak akan menuntutnya dengan perkara lain lagi'. Tiga perkara tersebut ialah dia ujub pada dirinya sendiri, dia merasa amalnya sudah banyak, dan dia melupakan dosa-dosanya.

'Ujub adalah punca kepada segala bencana dan fitnah bagi seorang hamba. Apabila seseorang itu dikuasai oleh 'ujub dengan mudah ia akan melakukan dosa-dosa lain yang disukai iblis sebagaimana diungkapkan oleh nabi Isa a.s:

Betapa banyak pelita yang dipadamkan oleh angin, dan betapa banyak ibadah yang dirosakkan oleh sifat 'ujub.

Amal soleh adalah sinar dan cahaya. Ia akan berubah menjadi mendung apabila ditiup oleh angin 'ujub walau pun hanya dengan sekali hembusan sahaja boleh menjerumuskan amalan seseorang kepada هبآءً مَّنْثُورًا.

Sumber (telah diringkaskan dari artikel di link ini):
http://www.haluan.org.my/v3/index.php/berhati-hati-debu-berterbangan-dalam-kerja.html

"Ya Allah, terimalah amal ibadah kami. Suburkanlah sifat ikhlas dalam diri kami."

No comments: